Monday, October 22, 2012

Korban

#Korban-- sekarang trend di twitter sempena Raya Korban a.k.a Aidiladha Eid.

Apa makna korban yang korang faham sebelum ni?

Korban pada aku bukan semata-mata kena korban jiwa raga, nyawa, harta, masa, cinta, maruah, kasih sayang, kepentingan diri, bla . . bla . . bla . . lepas tu siap nyanyi lagu abang Jamal, berkorban apa saja dengan mimik muka tercebik-cebik kononya menghayati lirik. Oke, itu teruk.

Korbankan nafsu. Nafsu amarah. Aku sedang cuba untuk korbankan   sifat pemarah yang aku rasa inilah sifat aku yang paling buruk, selepas aku kelihatan begitu comel.

Dan aku sampai satu tahap sanggup buang perasaan sayang sebab lebih pentingkan sifat marah. 

NOTA: Selamat menyambut hari raya korban dengan pesanan janganlah sebab sayang kau korbankan kesucian diri kau semata-mata kerana nafsu syaitan. Jangan kau cemarkan perkataan korban. Berkorban biar kena pada pada tempatnya. Selamat makan daging korban bukan 'daging kawan'. 

Dari Abu Hurairah R.A, telah datang seorang lelaki yang meminta nasihat dari Nabi S.A.W. Dia berkata; Berilah nasihat kepada saya. Nabi S.A.W menjawab; Jangan kamu marah, lalu diulangi beberapa kali, jangan kamu marah. Dia bertanya lagi; Yaa Rasulullah tunjukan saya satu amalan yang membolehkan saya masuk kedalam Syurga. Baginda menjawab; Janganlah kamu marah, nescaya kamu akan masuk Syurga. 









Saturday, September 8, 2012

K-POP part 2


Ini nasihat aku, kalau kau boring kau layarilah laman You Tube. Aku bukan ikut trend, sebab tu lah aku selalu TERlewat. Orang dah tak kecoh pasal K-Pop, aku baru nak layan *pelan-pelan. Nah layan Gangnam Style kool famili. Tak semestinya yang HITAM itu semuanya datang dari syaitan kan?

Oke, selamat melayan.



K-pop

When a memory's go so is the soul - 'A Moment to remember.'

Aku bukan nak post entry dalam BI, aku tak berapa pandai nak guna pronaunce. Aku tulis sebab aku tertarik dengan jalan cerita filem dari korea ni, aku sebenarnya benci k-pop. Filem ini dicadangkan oleh adik aku untuk ditonton, selepas aku menghantar pesanan ringkas mengeluh kebosanan sepanjang hari.

Antara part dialog yang aku suka dengar. Dialog ni dalam bahasa korea, aku translate dalam BI. Erkk, yang sebenarnya filem ni memang ada sarikata dalam BI pun.

'You know what I'm waiting here? Not a cigarette light, I'm waiting for the light. Sharing a cigarette light means sharing the light.'

Bukan aku nak ulas balik filem ni, tapi aku rasa soul aku dengan korean soul dah bersatu. Bila aku tonton filem ni, ada satu dialog ni, masa ni heroin a.k.a Kim Su-Jin tengah call bapak dia. Buat aku tiba-tiba aku teringatkan seseorang.

Bapa Kim Su-Jin: I'm your favorite pushover, am I not?
Kim Su-Jin: No, you're not pushover!. You're my chirstmas
Bapa Kim Su-Jin: What?
Kim Su-Jin: I mean Santa Claus *bercakap sambil ketawa dengan wajah yang ceria gila.

Su-Jin panggil bapak dia Santa Claus, tu yang buat aku semangat nak khatamkan filem ni. Dan juga punca aku tersenyum sumbing depan laptop bila teringat perkataan Santa Claus. Jangan tanya aku kenapa. Tapi senyuman aku terhenti bila hujung-hujung filem ni sangatlah sedih dan menyayat hati. Ouh, aku benci k-pop, rugi air mata aku.

Moral filem ni, korang tolak tepi dulu scene romance dan peluk cium. Ni lah sebab aku tak suka tengok romance film. *'FORGIVING, is giving your hate just a little room in your heart.' Part ni paling aku rasa sayu, masa hero a.k.a Chul Soo minta maaf kat bapak mertua dia sebab tak nak Kim Su-Jin dijaga family mertua dia sebab Su Jin ada Alzheimer.  


A true carpenter, is the one that can build a house in his heart - A Moment To Remember.






Wednesday, July 18, 2012

Hadiah dari syurga.

Kakak Echa kami semua sayangkan kakak, tapi Dia lebih lagi sayangkan kakak. Kami rindukan kakak Echa, tapi Dia lebih lagi rindukan kakak. Sebab tu Dia ambil dan simpan kakak Echa dulu.

Kami semua sedih bila kakak Echa tinggalkan kami malam tu, tapi kami percaya jaminan syurga oleh-Nya untuk kakak Echa. Kami redha atas kepemergian kakak Echa, kami ikhlas lepaskan kakak. 

Tadi Uteh baca post status facebook mama untuk kakak Echa, Uteh tak dapat nak tahan air mata, bukan Uteh nak meratap kematian kakak Echa, Uteh jadi sedih bila teringatkan keletah kakak. 

Kakak Echa jangan takut, dekat sana akan ada malaikat yang menemani kakak Echa macam masa kakak dalam perut mama. Kami tahu kakak Echa suka tengok drama Tanah Kubur, kakak Echa selalu cakap dengan mama, 'kesian ea mama, kesian dia' . Walaupun kakak Echa tak tahu makna sebalik cerita tu, tapi sekurang-kurangnya kakak Echa dapat rasakan makna kematian. 

Kalau kakak Echa nak tahu, masa hari pengkebumian kakak Echa, talkin tidak dibacakan, sebab kakak Echa masih kanak-kanak yang maksum, yang suci, yang bersih dari dosa. Kakak tak akan terseksa dengan seksaan kubur. kami tahu kakak Echa tahu, sebab tu muka kakak Echa senyum je masa mama pangku kakak nak mandikan kakak buat kali terakhir. Muka kakak Echa cantik, comel, gebu. Pipi kakak Echa berisi, terasa bila kami kucup dahi dan cium kakak Echa tak macam sebelum ni.

Kami sedih tengok abang long dia nangis tak berhenti, dia berkali-kali menyingkap kain putih nipis yang menutup wajah kakak Echa sebelum kakak Echa dikafankan. Dia macam tak puas tengok wajah kakak Echa. Malam tu abang long baca yaasin untuk kakak Echa, kami tahu kakak Echa mesti dengar, sebab dinihari bila kami angkat kerudung nipis tu, mulut kakak Echa terbukak sikit menampakan barisan gigi kakak Echa yang putih bersih. Kami tak rasa kakak Echa dah tak ada, kami rasa kakak Echa cuma tidur keletihan sahaja.

Mama kata petang sebelum kakak Echa meninggalkan kami, kakak Echa cakap 'kakak penat ma, kakak nak tidur'. Rupa-rupanya itu ayat terakhir dari kakak Echa, kakak pergi dalam dakapan mama. Kakak pergi senang je, tak tercungap-cungap macam biasa macam kakak nak ambil nafas.

Kami tak pernah tengok ayah kakak Echa menangis, masa dia uruskan permit dan surat kematian dekat balai yang berdekatan, dia tenang sahaja sampailah keesokkan harinya masa jenazah kakak Echa dah selamat disemadikan, selepas doa dibacakan. Masa tu nak siram air mawar supaya pusara kakak Echa sejuk, masa tu lah kami nampak ayah kakak kesat matanya berkali-kali.

Kakak Echa, kakak adalah hadiah dari syurga yang kecil tapi besar maknanya buat kami. Dia pinjamkan kakak Echa buat kami agar kami semua belajar erti cinta, sayang dan rindu. 

Bersemadilah kakak Echa dalam ketenangan, kedamaian dan kegembiraan bersama-sama dengan yang lain yang terpilih yang telah terang-terangan dijanjikan syurga oleh-Nya. Maka bergembiralah wahai anak.

Sesungguhnya dalam kekuasaan-Nya apabila menghendaki sesuatu hanyalah berfirman 'Jadilah!' maka terjadilah ia. Maka maha suci ALLAH, Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu dan kepada-Nya kamu dikembalikan.

Tuesday, July 17, 2012

Every picture got their own story.






Kakak Echa, we miss you terribly. Its hurt, but we must put redha' in our heart. 


Syurgalah tempatmu wahai anak.

Innalillahi wa inna ilaihi raji'un : sesungguhnya kami milik ALLAH dan kami akan kembali kepada-Nya dan kami pasti akan kembali kepada Tuhan kami.

Al-Fatihah, khususan illa rohi al marhumah Alysha Afina Binti Zainuddin Sayufi.

09.JANUARI.2009-15.JULAI.2012

Dari-Mu kami datang dan kepada-Mu kami kembali yaa ALLAH. Kau hidupkan kami dalam islam dan aku mohon kembalikan juga kami dalam islam dan dalam keadaan yang baik.

Friday, June 29, 2012

Teman pengganti.

Teman Pengganti : Black feat Malique

Ketawa bersama
Menangis bersama
Kubersumpah harap  
Kita mati pun bersama
----
Sejak dua menjak ini
Makin kerap ku diganggu visi
Bila celik juga bila mimpi
Aku nampak kau, tapi bukan aku yang disisi
Dia membelaimu dengan izin dan permisi
Sentuhannya katanya semuanya kau iakan
Sentuhan jari kau diamkan dan biarkan
Aku redha walau tidak mudah
Walau hampa semuanya dah dijangka
----
Beberapa purnama dulu cinta bertahta
Kenangan dibina kita indah berlaka
Ketawa bersama, menangis bersama
Ku bersumpah harap kita mati pun bersama
Namun hakikatnya bukan mudah
Aku sembunyikan gulana gundah
Segalanya kan berubah
Dengarkan apa yang aku mahu luah
----
Rahsia ini
Telah lama aku pendamkan
Tiba masanya
Segala-galanya

Kuceritakan
Aku kan pergi
Pergiku tak akan kembali

Tiba masanya
Kau cari teman pengganti
----
Dalam dunia yang maya, prejudis dan bias
Kita tak terlepas dari terkena tempias
Rimas, ditindas, sembunyi dalam puisi dan kias
Tidak kau bidas, tidak berpaling walau sekilas
Hanya kau yang tahu kondeksku yang kompleks
Dalam dileksia cuba kekal dalam konteks
Bila dunia seolah tak memahami
Kau sudi selami, dalami dan memahami
----
Setia mendengar, sentiasa hadir
Ingat setiap ulang tahun, setiap hari lahir
Tiba pagi syawal kaulah yang terawal
Syawal yang terakhir ini pasti rasa janggal
70,000 hijab harus kusingkap
Kusorok kitab balik tingkap dipenjara hinggap
Dalam diam ada, seorang yang kupuja
Kau yang teristimewa tapi dia yang sempurna
----
Rahsia ini
Telah lama aku pendamkan
Tiba masanya
Segala-galanya
Kuceritakan
Aku kan pergi
Pergi ku tak kan kembali
Tiba masanya 
Kau cari teman pengganti
----
 Sejak dua menjak ini kucari fungsi kewujudan
Dalam persekitaran yang penuh kejumudan
Terperangkap dalam jasad, ku keliru
Mujur ada kau, si peneutralisasi pilu
Namun aku tetap murung berkurung
Tubuh makin susut menunggu tarikh luput
Komplikasi dihalaman rusuk kiri
Makin sukar nak bernafas, nak bergerak, nak berdiri
----
Lagu ini yang terakhir aku sajikan
Kalau rindu nanti bolehlah kau nyanyikan
Jaga diri, jangan makan hati
Yang patah kan tumbuh, yang hilang kan berganti
Bilik dah kukemas, katil dah kurapi
Cincin, kunci, dompet dalam laci
Ada sikit wang itu saja baki
Moga-moga cukup untuk majlis tu nanti
----
Aku kan pergi
Bertemu kekasih abadi
Tiba masanya
Kau cari teman pengganti . .

Tuesday, May 22, 2012

Tuhan, ampunkan aku.

'Yaa Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri, kerana itu ampunilah aku'

Bahang panas suhu luar membakar muka, bias terik matahari segera menusuk ke hati. Lambat-lambat pergerakan darah sampai ke otak akibat cuaca luar yang kering. Walaupun hari masih awal pagi, matahari sudah tegak berdiri. 

Perit matahari luar yang masuk kedalam akibat pantulan dari cermin kereta yang diparkir bertentang dengan matahari, menambah lagi sakit dihati. 

'kenapa kau susah sangat nak faham aku? bukan harta kau yang aku mahu. Tapi masa dan perhatian yang aku inginkan. Kalau aku boleh memberi kenapa aku tak layak menerima?'

Persoalan ini sensitif, ia menyentuh banyak pihak. Salah intonasi sudah dikata ungkit dan tak patut. Tak keterlaluan juga dikata kejam.

Tak tenang kerana perasaan sendiri. Dunia ini bulat, jauh mana kau lari main sembunyi-sembunyi, esok kita mesti jumpa depan al-khalik. Masa tu baru kau/aku sedar ada layar besar yang memutarkan kelakuan kita yang kita putar disini.

Istigfar. Istigfar. Istigfar. Selamat datang rejab dan perbanyakkanlah kamu/aku beristigfar di bulan ini.


Allahumma baariklana fi rajabin wa sya'baana wa balighnaa ramadhaan : Yaa ALLAH yaa Tuhan kami, berkatilah kami pada bulan rejab dan sya'ban dan sampaikan (hidupkan) kami sehingga ke bulan ramadhan.

Saturday, May 19, 2012

Suara dalam hati.

Terdetik dihati penuh dengan kebencian dan api dendam. Kenapa kau memebenarkan syaithan berkampung dalam jiwa kau? Kenapa kau biarkan syaitan membolak-balikan hati kau? mempermainkan perasaan kau yang sedia hitam?

Dengusan nafas kasar.

'SIAL! SIAL! SIAL!'

'Argh!, dugaan apakah ini?'

'Mugkin aku kurang berdoa, mungkin solat aku terawang-awang antara diterima dengan tidak, mungkin pahala amalan aku tergantung kerana hati aku kurang bersih, mungkin aku ada sakitkan hati emak tanpa aku sedari dan aku sedari, mungkin kerana dosa lampau aku yang buat orang berdendam lalu menyumpah seranah aku tak kan bahagia sampai bila-bila'

Banyaknya mungkin. Mana pergi KEPERCAYAAN aku? Mana hilang semangat aku? Yaa ALLAH! Allahuakhbar! ALLAH! ALLAH! ALLAH!

Apabila mulut tidak lagi boleh menjelaskan apa-apa tentang betapa hati ini sudah terkoyak pedih, tangisan adalah jalan terbaik untuk menjelaskan semuanya.


Aku yakin air mataku ini suatu saat akan menjadi air mata kebahagian hidupku. 





Wednesday, May 16, 2012

Hari 'AKU' dan hari IBU


Lagu selamat panjang umur dinyanyikan, sumbang tanpa irama senada hasil dari sumbangan suara ramai yang bukan artis. Gumpalan senyum selebar-lebarnya aku berikan untuk ahli keluarga, atas kerjasama tanda terima kasih tak terhingga. 

13.MEI, 2012. Genap sudah 30 tahun usia aku. Dan hari ini juga adalah hari ibu. Selamat hari ibu mak, aku ucap kat sini lagi sekali untuk penyedap ayat, walaupun aku dah ucap direct kat mak, sambil cium laga-laga pipi. 


Macam-macam perbezaan pendapat tentang sambutan hari ibu. Ulamak A kata haram, ulamak B kata okay, tak ada masaalah kalau nak sambut. Alhamdulillah aku masih tak lari dari akidah.

Memang kalau diikutkan setiap hari kena sayang mak, tiap saat, tiap masa kena hargai mak. Mengikut logik akal aku, sebab aku bukan ustazah tak boleh keluarkan fatwa. Masa nilah yang sesuai nak berikan atau buat sesuatu yang lebih istimewa selain sambut hari ulang tahun kelahiran mak. Oleh sebab aku bukan anak orang kaya, goyang je kaki, petik je jari, income pun masuk tak henti-henti. Dan aku juga tak banyak duit nak bagi mak aku makan kek jenama secret receipi hari-hari. Aku tak berdaya nak balik kampung hari-hari kena bayar tol sampai 2 kali pergi dan balik, tu belum campur duit minyak dan duit makan sepanjang tempoh perjalanan. Aku juga tak banyak masa nak mengadap muka mak (walaupun aku tahu kalau kita tengok wajah mak kita dengan penuh kasih sayang dapat pahala haji) sambil berbual-bual santai, sebab aku kena kerja keras. Nabi suka umatnya yang berkerja keras untuk memperbaiki taraf hidup. Jadi, apa salahnya kalau aku sambut hari ibu yang setahun cuma sekali.


Aku tak tahulah kalau 'engkau' mampu buat semua ni hari-hari kat mak 'engkau'. Sebab aku memang tak mampu. Ouh, alangkah beruntungnya emak 'engkau' tak perlu lagi sambut hari ibu sebab dah tidak ada apa yang istimewa, sampai sanggup 'engkau' mengkapirkan dan me'neraka'kan orang-orang yang nak meraikan mak sendiri. 

Dan sebagai orang islam yang percaya bahawa, kalau kita gembirakan hati mak kita, rezeki itu mudah dan murah. Jadi, aku sambut hari ibu bukan tanda aku kapir dan mengagung-agungkan yahudi! Aku sambut hari ibu, untuk raikan mak aku dan masa tulah kami semua akan berkumpul adik beradik, makan masakan yang mak masak sambil menikmati kek cheese jenama secret receipi bertemankan tiupan angin pantai laut cina selatan sambil mengumpat. Engkau ada? 

Jangan jadi macam lalang, suka ikut arah angin, suka belot, suka leka, ikut telunjuk bayang-bayang akhirnya diri terluka.

  


Batu Belah Batu Konkrit : Monoloque feat Azlina Aziz

Wahai anankanda ku sayang
Kemana hilang budaya
Diculik piring terbang
Atau ditelan buaya

Tiada peluang, tiada ruang
Semua mahu cepat kaya
Pabila semua dah hilang
Baru hendak percaya

Cukuplah semua ini
Hati bunda tersepit
Biarkan bunda pergi
Dimakan, ditelan, batu belah batu konkrit

Wahai anankanda ku sayang
Kenapa gadai pusaka
Sebab cinta atau uang
Atau kerna kurang peka

Sepertilah lalang
suka belot, suka leka
Ikut telujuk bayang-bayang
Akhirnya diri terluka

Melihat semua ini
hati bunda menjerit
Lepaskan  bunda lari
Dari dihimpit putar belit masyarakat hipokrit

--------------------------------------

Wahai bunda
Jangan merajuk
Bunda jangan makan hati
Anankanda disini memujuk
Dan anankanda tak kan berhenti

Kini sedar dari mimpi
Baru faham semua ini
Bunda tolong jangan pergi
Maafkan anakmu

--------------------------------------

Bunda rela
Dimakan, ditelan batu belah batu konkrit
Dari dihimpit, putar belit hamba duit masayarakat hipokrit





_________________________
I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://s.exps.me

Wednesday, May 2, 2012

Sungai air mata.

Sebagai seorang mujahid yang memperjuangkan hidup sendiri untuk terus bebas, kaya, maju dan berjaya, aku harus berubah! Dalam mengorak langkah untuk berubah, sudah tentunya aku acap kali terjatuh.  

Seperti kanak-kanak kecil yang disogokkan dengan gula-gula untuk berhenti menangis bila terjatuh kerana terluka, aku juga mahukan gula-gula itu sebagai ganti semangat yang semakin hilang.

'Yaa ALLAH, aku mohon yang sangat-sangat, yaa Tuhan seru sekelian alam, yang maha hidup, yang maha berdiri sendiri, yang memiliki kebesaran dan kemuliaan. Yang maha mendengar doa, yang maha dekat, yang maha mengabulkan doa, kepada-Mu aku mohon, jauhkanlah aku dari manusia-manusia yang mementingkan diri sendiri, yang besifat zalim pedengki dan iri hati. Yaa ALLAH, hanya pada-Mu, aku luahkan segala kesedihanku. Aku percaya janji-janji-Mu, penerimaan doa-doaku, dan kata-kata Mu adalah benar semata. Sesungguhnya Engkau telah berfirman, "berdoalah kepada-Ku, dan Aku akan perkenankan doamu". Yaa ALLAH, perkenankanlah doaku ini.'

. . dan air mata aku mengalir lagi. Ohh! oke, aku sayu.

Kau boleh kehilangan orang yang kau cinta, kehilangan sesuatu yang kau punya. Tapi, jangan pernah kehilangan DIRI mu sendiri.

Monday, April 30, 2012

. . dan demi RINDU itu, aku yakin ALLAH jualah sebaik-baik tempat mengadu.

'I missed you terribly'

Pesanan ringkas itu dihantar dengan perasaan yang berbunga-bunga penuh rasa rindu kerana ALLAH untuk seorang saudara yang dikasihi, yang jauh dimata dekat dihati.

Kerana dia terlalu yakin, hadiah yang terindah yang DIA berikan untuknya adalah rasa rindu. Biarpun tak nampak tapi masih boleh dirasakannya. ('Janganlah mengukurnya dari yang nampak, apa yang nampak adalah berasal dari yang tak nampak. Dan apa yang nampak dari diri kita juga berasal dari yang tak nampak, yakitu ALLAH.')

Sepertinya sejauh-jauh mata memandang, sedalam-dalam hati merasakan. Walau berjuta kata, tak cukup melukis rasa rindu yang diempang. Begitu sarat, berat untuk dilepaskan, walau pada siapa air mata rindu inikan mengadu selain ALLAH?

'Yaa ALLAH, disaat-saat berpisahnya aku kalah, rinduku tak pernah dibiarkan lengkang dan hilang. Yaa Rabbi yaa Tuhanku, Engkau yang mengetahui yaa ALLAH, Engkau yang telah berikan jalan yang mana yang harus aku tempuh, akhirnya Kau tak pernah membiarkan aku sendirian menempuh. Kau juga yang telah menanamkan rasa rindu dalam nilai ini, kau selalu menjaga rindu ini sepertimana Kau menjaga rinduku pada-Mu. Tidak ada seutas tali pun tempat aku bergantung selain tali-Mu yaa Allah, tidak ada satu pun pintu yang akan kuketuk selain pintu-Mu.
Yaa Rabbi yaa Tuhanku, yang maha pengasih lagi penyayang, dibawah langitmu aku serahkan rindu dan jiwa ini kembali kepada-Mu. Kubawa rinduku bersama-Mu, milik ALLAH semata.'



Air mata palsu memberikan luka bagi diri orang lain.
Senyuman palsu memberikan luka pada diri sendiri.


Walauapa pun yang terjadi, ingatlah! ketika kau tidak punya siapa-siapa selain ALLAH, ALLAH itu lebih dari cukup.

Wednesday, April 11, 2012

Kalian, dengarkah keluhanku?

Ada sesetengan orang yang kita kenali akan meninggalkan kesan di hati. Tapi ada sebahagiannya pula, buat kita nak tinggalkan kesan kat muka dia.

Manusia macam kau nilah antara sebabnya kita ada 'jari tengah.'





Monday, April 9, 2012

Class of 94/99

Before.
SK. Bandar Penawar
After 13th years.

LOCATION: Tutti Frutti
DATE: 8/4/2012


Mazlin, Nazirah, Pesah, Noi & Dilla.



Wednesday, March 28, 2012

3 Asas ukhwah

1. Jika engkau tidak dapat memberi manfaat kepadanya, maka janganlah engkau menyusahkan dia.

2. Jika engkau tidak mahu mengembirakan dia, maka janganlah engkau menyedihkan dia.

3. Jika engkau tidak mahu memuji dia, maka janganlah engkau mencela dia.




Kawan sejati ambil berat macam seorang IBU. Marah macam seorang AYAH, bergurau macam adik beradik dan menyayangi lebih dari seorang KEKASIH.

Tuesday, March 27, 2012

Nilai aku cuma seperti sepasang kasut.

Bukan nak merendahkan diri dengan menyamakan nilai aku cuma seperti sepasang kasut yang dipakai dikaki. Aku cuba untuk jadi sepasang kasut yang saling memahami, bertolak ansur, memberikan sipemakai keselesaan dan keselamatan sesuai dengan kualiti pembuatan dan harga seorang aku yang diibaratkan.

Ganjil bukan kalau sebelah kaki sahaja yang pakai kasut? Lagi tambah pelik kalau kita pakai kasut sebelah lain, sebelah lagi lain. Begitu juga sewaktu memakai kasut, sipemakai akan mengenakan mana-mana dia suka tanpa mengikut sunnah (dahulukan yang kanan), yang sebelah tidak akan bergaduh kerananya. Inilah yang dinamakan kemanisan bersahabat - mengalah.

Dan aku seperti sepasang kasut itu yang akan sentiasa mengalah, memahami, prihatin dan sentiasa akan memberikan keselesaan maksimum. 


walau tak MAHAL, tapi SELESA.
Lindungilah diri kamu daripada kemarahan, kerana permulaannya ialah kegilaan dan penghujungnya ialah penyesalan. #Sayidina ali r.a

Melihat dirimu, aku mengerti diriku.

Ini bukan kali pertama mereka berpisah dalam tempoh yang lama. Sekali sewaktu adik menjalani latihan praktikal selama 6 bulan, kemudian kerana keadaan. Kini, sekali lagi mereka terpisah kerana masa yang berubah. Emosi merusuh dikepung sebak yang mendalam. Dia risau seandainya salah seorang daripada mereka akan meninggal dunia.

"Allah telah mentakdirkan kakak menjadi perlindungmu. Ini adalah pertalian yang dari syurga yang tak mampu dileraikan oleh sesiapa pun. Seandainya kita berdua menjadi manusia solehah yang dicintai Allah, sekalipun kita terpisah didunia, percayalah kita akan bertemu di syurga kelak."


25hb, Mac. Mungkin ini yang terakhir . . .
Allah tidak pernah mengabaikan kita selagi mana kita menjaga solat. Allah menguji kita dengan perpisahan kerana DIA mahu memberikan kita kemanisannya nanti di syurga-NYA kelak.

BERSAUDARALAH seperti rantaian tasbih.

Friday, March 23, 2012

'Kumpulan sokongan'

Untuk cemerlang dalam hidup kita perlukan kumpulan sokongan. Tapi siapa kumpulan sokongan kita itu? Disinilah persoalannya, kita perlu bijak memilih siapa ahli kumpulan sokongan kita.

2 orang kira 'kumpulan' juga kan?
Banyak perkara sukar dilakukan jika bersendirian. Jadi kumpulan sokongan ini sangat penting. Seperti aku, yang mahu meninggalkan dan melupakan perkara sedih lah sangat. Mereka inilah yang mendorong dan memberikan sokongan kepada aku.

Doa ketika dukacita dan sedih:
Yaa ALLAH, aku berlindung dengan-MU daripada ditimpa kesusahan dan kedukaan, daripada kelemahan dan kemalasan, daripada kedekut dan perasaan takut dan daripada desakan berhutang dan paksaan orang. 

Tiada jalan pintas untuk berjaya dalam hidup.

6:00am . . 6:30am . . 7:00am . . 8:10am . .

"Wa, bangun! Cepatlah adik dah lambat ni."

------------------------->

"Wa, cepatlahhhhhhhhhh . ."

'Aduh, perut aku meragam. Time-time nilah nak membuang pulak, huh!'

"Kejap!"

8:25am.

8:34am, barulah adik aku sampai ke tempat kerjanya. Lewat 4 minit, aku dah cuba untuk sampai tepat pada masanya. Oleh kerana tiada 'jalan pintas', yang ada hanya jalan yang lurus dengan lampu isyarat bersilang sepanjang jalan dan para pengguna jalan raya yang mementingkan diri sendiri. Suka tak suka aku kena jugak pilih jalan ni.

Huh! Kerana lampu 3 warna banyak masa terbuang sia-sia. Rugi rasanya skill memandu aku yang cekap, lampu isyarat itu tetap menjadi penghalang.

Alasan-alasan typical bila lewat:
1. Lampu isyarat lambat tukar kaler/gagal berfungsi.

2. Lori kontena pagi-pagi dah sibuk menambah tekanan kesesakkan jalan.

3. Kereta kat depan bawak lambat macam siput.

4. Salahkan abang-abang motor yang bawak motor tersengguk-sengguk sebab semalam tidur lewat tengok bola. 

5. Ataupun tiru je alasan mamat ni:

Ini macam kira alasan ke? ceh!

Thursday, March 22, 2012

Dialog suara hati.

'Hidup ini memang palat!'

'Hidup kalau tak buat palat, kau tak akan dikenang.'

Termanggu-manggu menanti jawaban erti palat dalam kehidupan.

Sambung:



'Sadis betul kalau hidup kau straight tanpa konar-konar. Tegak macam patung berhala. Kau bodoh sebab tak nikmati isi dunia ini dengan tanganmu sendiri.'


Mendongak ke langit, terasa dekat dengan muka. Aku lontarkan senyuman pada langit eh! pada awan, eh! bukan, pada matahari mungkin. Untung ada Ray Ban dapatlah aku mengukir senyuman manis pada sang matahari.


'Bukan aku tak nak konar-konar, aku pilih jalan straight sebab aku takda break, aku takut kalau aku konar, konar aku sasar, sebab kurang perisian.'


Langsung aku istighfar. Dari mana datang suara kedua ini? Kosong. Dengan siapa aku berlawan cakap tadi?


Demi waktu dhuha. Dan malam apabila ia sunyi sepi. (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu dan Dia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik) Dan sesungguhnya kesudahanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya. Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu kejayaan & kebahagian dunia & di akhirat sehingga engkau redha -berpuas hati. Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu. lalu Dia memberikan perlindungan? Dan didapati-Nya engkau mencari-cari jalan yang benar. Lalu Dia memberikan hidayah petunjuk dengan wahyu Al-Quran? Dan didapati-Nya engkau miskin lalu Dia memberikan kekayaan?. Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya. Adapun orang yang meminta bantuan pimpinan maka janganlah engkau tengking herdik. Adapun nikmat Tuhanmu maka hendaklah engkau sebut-sebutkan dan zahirkan sebagai bersyukur kepada-Nya. {Adh-Dhuha}

Kalau kau berada ditempat aku, kau pasti menyesal menjadi aku.

Bosan.

Bosan.

Bosan.

tik tok, tik tok, tik tok, tik tok, tik tok, tik tok, tik tok, tik tok, tik tok, tik tok, tik tok, tik tok, tik tok, tik tok, tik tok, tik tok, tik tok, tik tok, tik tok, tik tok, tik tok, tik tok, tik tok, tik tok . . . .

13 tahun lamanya, tapi tiada apa yang berubah, melainkan saiz tubuh badan. Berapa banyak masa lagi harus aku bazirkan.

Apa yang terlihat dizahir tak sama dengan didalam. Nampak indah tapi berkarat didalam. 


Dan demi masa! sesungguhnya manusia itu didalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan sabar. {Al-'Asr)


Wednesday, March 21, 2012

Cerita waktu hujan.

Siapalah aku hendak menidakkan takdir.  Betul, ada beza orang beriman dengan tidak beriman. Tapi aku pun manusia biasa yang terumbang-ambing imannya yang mudah tertipu dan menipu.

Saat aku perlukan bahu dan hujung lengan baju seorang kawan sebagai pengelap air mata, yang ada cuma sehelai tisu basah yang robek pemberian seorang nyonya tua semasa beratur panjang menunggu giliran untuk masuk ke tandas.

Cuaca luar yang sejuk, beserta angin dan hujan lebat buat kotak hitam leper ini tak berfungsi. Sial!! . . services is currently not available. Celaka punya Astro!. 

Aku mamang tak boleh duduk sorang-sorang diam-diam, nanti banyak bayangan hitam yang mengacau fikiran. Lalu segera aku mandi, capai kunci kereta dan berlalu kepintu masjid jalan besar.

Dilantai pengaduan banyak yang aku adukan, beralaskan karpet tebal buatan Belgium, aku terasa empuk. Aku tahu, sebab kat belakang tu ada tulis made from Belgium. Disitu aku menangis sepuasnya. Tanpa bahu seorang kawan, aku masih ada Tuhan. 



Ini adalah pepatah barat yang sangat popular: Sharing is caring.
Dan ini pula pepatah aku: Sharing, sometime make you boring when you waiting, and sometime sharing is no meaning. 

Friday, March 16, 2012

Suara hati besi

Dalam hati ada IMAN



Selepas tamat tingkatan lima sehingga hari ini, hidup aku sama sahaja. Mendatar, tak turun dan tak naik-naik. Tiada sebarang perubahan sama ada baik atau lebih baik, tak ada cabaran, tak ada tentangan. 

Aku rasa hidup aku semakin kurang kualiti dan ceria. Bangun pagi, pergi kerja balik petang, kadang-kadang sampai malam. Esok bangun, tidur lagi dan ulang benda yang sama. Shit! Sumpah aku bosan!

Aku perlukan sesuatu yang memberangsangkan minda bukan duduk tepu macam pesakit kronik yang give up tunggu ajal datang! selepas doktor buat keputusan yang 'dia' ada tempoh 3 bulan sahaja untuk hidup.

Arghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh!!!!!!!!!!!!!


Walau aku jerit sekuat hati,
suara aku tidak siapa dengari, 
tapi aku yakin dan pasti, 
Tuhan itu ada disisi.





Wednesday, March 14, 2012

Lagu ini untuk aku.

Bersama petikan gitar berkonsepkan akuastik yang halus bergema dicuping telinga, senada dengan liriknya ditujukan untuk aku. Dengan penambahan ayat, menyatakan lirik versi Inggeris lebih sedap. Dan oleh kerana aku bukan terpelajar, aku lebih tertarik dengan versi Indonesia yang dimuat turun dari laman You Tube.


Kepada Tuhan (Dear God by Avenged Sevefold)

Jalan sepi dibatas kota ini
Jauh dari seseorang yang aku sayangi
Ku terkenang kata yang kau ucapkan
Namun tak bisa membuatku kembali kepadamu

Tuhan hanya satu pintaku pada-MU
Jagalah dia saat aku jauh dari sisinya
Kuharapkan orang yang tulus pada-MU
Tapi kutinggalkan dirinya saat aku berjumpa
Aku sendiri dan aku lelah
Aku merindukanmu, sayang
Dan lagi

Rasa hampa menyelubungiku
Tak seorang pun disini yang menemaniku
Masa indah saat ku bersamamu
Dan potretmu akan iringi hariku

--------------------------------------------

Mencari, tiada ku temukan
Seolah sia-sia
Keranamu, ku tetap bertahan
Menyerah tak kan pernah
Betapaku merindukanmu didalam pelukku


Tuesday, March 6, 2012

Hari ke-3 selepas kejadian.

Yang cedera itu dikaki bukan ditangan atau jari jemari. Jadi aku takde masalah nak tulis entry, update status facebook, post twitter, cek email, balas message, picit-picit handphone, tekan remote tv, makan dan mengorek hidung.

Dan bertemankan secangkir nescafe, aku duduk tekun mengadap lappy melawan sakit yang langsung tak berkurang, sambil menunggu ada atau tidak khabar dari dinding sebelah.

Hampa. Ouh, lupa! aku sebenarnya mana ada kawan. Segera aku pejamkan mata rapat-rapat. Aku cuba bayangkan, andai aku benar-benar tiada satu hari nanti, berapa ramai yang akan datang menziarahi tubuh kaku aku sambil bertakziah. Tsk . . tsk . tsk.

Teringat mati terasa telapak tangan aku berpeluh-peluh. Hati aku tiba-tiba resah. Segera aku buka mata luas-luas, aku memusingkan badan kekiri kekanan, antara sedar dengan tidak hati aku masih lagi bergetar terasa kecut perut aku mengenangkan insiden tempoh hari. Perasaan itu cuma aku yang tahu.


{Surah Ar-Ra'd : 28} Ingatlah, hanya dengan mengingati ALLAH hati akan menjadi tenteram.

Monday, March 5, 2012

Ayam atau daging?

"Ayam atau daging?"

"Daging."

"Ayam atau daging?"

"Saya pilih ayam."

"Ayam atau daging?"

"Saya pilih dua-dualah."

*Ini adalah iklan makan tengah hari dari McD.

Dan kalaulah aku disoal secara rawak waktu aku sedang kelaparan aku pun tak pasti nak jawab apa.

Perlukah aku pakai dadu untuk jawab soalan simple macam ni. Kenapa mesti nak kena pilih-pilih, sedangkan kedua-duanya sangat sedap dan boleh dimakan.

"Antara hidup atau mati, yang mana satu kau mahu?"

Aku pilih hidup. Ehh, tak. Aku pilih mati.

Sabda Nabi S.A.W : Orang yang paling bijak adalah orang yang sentiasa mengingati mati.